BEKENU: Beberapa premis gunting rambut di pekan Bekenu sudah mulakan operasi dan mendapat sambutan ramai semalam.
Seorang pemilik premis gunting rambut yang dikenali sebagai Andrew ketika ditemui berkata, kebenaran beroperasi semalam sudah lama ditunggu.
Katanya, pelbagai perkara utama disediakan dan terpaksa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mana yang diarah oleh kerajaan.
“Premis kita perlu ikut SOP penguat kuasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun dan saya menyediakan peralatan khas keselamatan diri.
“Cecair basuh tangan, buku pendaftaran pelanggan dengan mencatit nama, bacaan suhu badan dan nombor telefon pelanggan,” jelasnya.
Selain itu, alat keselamatan kegunaan sendiri ialah penutup khas mulut dan hidung serta pakaian plastik secara pakai dan buang, tambahnya.
Katanya, premis yang diarah tutup hampir tiga bulan, sejak 18 Mac sehingga semalam ekoran PKP dan PKPB telah mengakibatkan ekonomi dan pendapatan merosot kerana tiada punca ekonomi sampingan.
Sekitar enam premis gunting rambut di sini turut mengalami masalah sama dan kebenaran premis gunting rambut beroperasi semula sangat menggembirakan mereka.
Namun, masih ada beberapa premis gunting rambut di sini belum bersedia beroperasi semula kerana mengutamakan keselamatan terlebih dahulu.
Oleh Adum Liu