MIRI: Semua premis digesa mendaftar aplikasi My Sejahtera atau Qmunity yang memaparkan kod QR pendaftaran di setiap pintu masuk untuk mendaftar kehadiran pengunjung.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) berkata, ia bertujuan untuk menyimpan rekod pengunjung termasuk nombor telefon pengunjung yang masuk ke premis tersebut supaya merek dapat dikesan dengan mudah sekiranya ada kes positif Covid-19.
“JPBB Miri meminta semua premis mendaftarkan aplikasi MySejahtera atau Qmunity dan memaparkan kod QR untuk diimbas pelanggan mereka yang memasuki premis.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar untuk mengimbas, mereka dibenarkan mencatat maklumat mereka secara manual pada buku rekod yang disediakan oleh pemilik premis,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Bahagian Miri (Pematuhan SOP Semasa PKPP) di Bilik Mesyuarat Residen Miri, petang Jumaat.
Dalam mesyuarat itu, Lee turut mengulas mengenai pengurangan kompaun yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut kategori.
“Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kompaun maksimum yang dikenakan adalah RM1,000.
“Mengikut SOP untuk pengurangan kompaun bertarikh 2 Jun lalu yang dikeluarkan oleh KKM, kategori berikut boleh memohon pengurangan kompaun iaitu masyarakat bawah B40, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dengan dokumen pengenalan diri dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kesalahan pertama,” jelasnya.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah menerima pengurangan kompaun sebanyak 79 daripada individu dan wakil syarikat, sejak 10 Jun hingga 6 Ogos lalu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 72 individu telah diberi pengurangan sebanyak 50 peratus dan hanya didenda RM500 di bawah kategori kesalahan pertama dan selebihnya tujuh individu atau syarikat membayar RM1,000 tanpa rayuan.
Turut hadir, Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri, Abdul Aziz Mohd. Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian, Jabatan Kesihatan Bahagian, Dr. P. Raviwharmman, Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah dan Penguatkuasa Majlis Badaraya Miri (MBM), Marcos Brahim.
Oleh Liong Chai Ling