KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana lebih RM200 juta bagi pembinaan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air dekat sini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan kampus baharu bertujuan untuk menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Sarawak tanpa mengira kaum.
“Kita pilih Trombol kerana ia terletak di tepi pantai, sambil belajar sambil bersenorok sikit-sikit dengan angin laut. Kalau belajar sahaja, kita jadi bosan.
“Pembinaan kampus baharu ini akan dilaksanakan bermula 2023,”katanya pada Program Randau Belia Islam bersama Premier Sarawak di Dewan kompleks Islam di sini hari ini.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa kos pembinaan kampus baharu itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
“Sebab itu saya berani buat kampus baharu Kolej Universiti i-CATS di Kampung Trombol kerana kita sudah mempunyai duit hasil yang diperolehi.
“Dengan siapnya kampus baharu itu nanti, ia akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat negeri ini untuk menimba ilmu dan kemahiran mereka.
“Malah hasil peningkatan pendapatan, kerajaan Sarawak telah mengambil alih dan memiliki 100 peratus aset Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu dan menaik taraf iCats sebagai kolej universiti serta meningkatkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sebagai pusat latihan,” katanya.
Abang Johari berkata, sejak memimpin negeri ini, pendapatan Sarawak bertambah sekali ganda.
“Sepanjang 40 tahun karier saya sebagai pemimpin, pendapatan negeri yang tertinggi saya lihat ialah RM6 bilion tetapi pada hari ini nilainya ialah RM10 bilion,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim, dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.
Oleh AZREEN KERIA