KABONG: Peruntukan terus disalurkan untuk menaik taraf prasarana sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sebagai sokongan kepada institusi pendidikan dalam usaha melahirkan lebih ramai insan cemerlang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, usaha itu amat penting bagi memastikan prasarana dan kemudahan yang diperlukan oleh sekolah di kawasannya sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Perkara itu katanya, amat penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan generasi muda di konstituensi itu pada masa depan.
“Saya sedar memang ada cabarannya namun, saya memberi jaminan akan terus komited membantu tingkatkan prasarana pendidikan di seluruh DUN Kabong selagi saya masih bergelar wakil rakyat di kawasan ini,” katanya ketika pada Majlis Pelancaran Sekolah Satu Sesi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong dekat sini baru-baru ini.
Chee Kadir berkata dalam tempoh empat tahun berkhidmat, beliau telah menyalurkan peruntukan besar untuk sekolah rendah dan menengah di DUN Kabong.
Justeru beliau akan berusaha meningkatkan kualiti pendidikan terus diberi tumpuan bagi memastikan anak-anak di kawasan itu menimba ilmu dalam suasana selesa.
“Saya memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan kerana sedar itulah pelaburan terbaik untuk masa depan.
“Malah, saya juga percaya ilmu yang sempurna mampu menyediakan kehidupan lebih terjamin khususnya kepada golongan muda,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Chee Kadir yakin Kerajaan Sarawak yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan pembangunan pendidikan di negeri ini.
Katanya, kerajaan mengambil langkah proaktif itu kerana sedar pendidikan memainkan peranan yang teramat penting dalam mengubah nasib seorang individu, keluarga, masyarakat, bangsa atau negara.
“Saya amat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana banyak membantu aspek pendidikan untuk anak-anak muda Sarawak, terutamanya di DUN Kabong.
“Ketua Menteri, bukan sahaja sentiasa menyalurkan peruntukan membaiki dan menyelenggara malah memenuhi pelbagai keperluan termasuk sekolah kawasan pedalaman,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau amat gembira penantian selama 12 tahun SMK Kabong yang beroperasi dua sesi, kini telah terlaksana apabila dengan berkat usaha dan kerjasama semua pihak, sekolah itu akhirnya beroperasi satu sesi pada tahun ini.
Hadir sama ialah Pengetua SMK Kabong, Iman Joni, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Saratok, Ramli Seruji, Yang Dipertua PIBG, Laksamana Bakar dan isteri Chee Kadir, Meryani Yasin.
Oleh Adi Safarman