SIMANGGANG: Pesta Benak Sri Aman 2024 edisi ke-21 bermula dengan prapelancaran di Astaka Regata Taman Tebingan Sungai Batang Lupar di sini, hari ini.
Berucap pada majlis itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan menyifatkan pesta itu sebagai unik.
“Orang Sri Aman sepatutnya berbangga dengan temasya ini kerana tidak banyak tempat dalam dunia ini yang memiliki benak dengan bandar Simanggang menjadi salah satu lokasi bagi menyaksikan fenomena itu,” katanya.
Beliau berkata Pesta Benak Sri Aman juga boleh dianggap sudah mencapai tahap ‘dewasa’ apabila penganjurannya sudah memasuki kali ke-21 pada tahun ini.
“Pesta Benak Sri Aman mula dianjur pada 1999. Penganjuran temasya ini sepatutnya sudah mencapai kali ke-24 atau ke-25.
“Namun, disebabkan pandemik Covid-19 dan beberapa faktor lain telah menyebabkan acara ini ditangguh beberapa kali,” katanya
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Snowdan pada majlis itu kemudiannya melancarkan buku ‘Keajaiban Fenomena Benak di Batang Lupar’ dan melakukan simbolik membunyikan ‘air horn’ penamatan acara lumba perahu di Sungai Batang Lupar.
Beliau mengakhiri majlis praperasmian ini dengan melakukan lawatan ke tapak pameran pembangunan yang terletak di belakang Astaka Regata, Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman.
Sementara itu dalam ucapannya, Snowdan berkata lebih banyak acara atau festival diadakan dalam negeri ini tahun depan.
Ini kerana kementeriannya menerima peruntukan sebanyak RM174 juta bagi tujuan operasi, program pemasaran serta promosi pelancongan.
“Daripada jumlah itu, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan lebih banyak acara atau festival dalam negeri ini.
“Selebihnya baki peruntukan ini diagih kepada Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, Majlis Kraftangan Sarawak dan Bussines Event Sarawak bagi membiayai pelaksanaan program mereka,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG