BAU: Projek pembinaan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin kini mencapai kemajuan kira-kira 11 peratus dan dijangka siap dalam tempoh 12 hingga 14 bulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata berdasarkan lawatan dan taklimat yang diterima, pelaksanaan projek berkenaan kini enam hari lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan perlu terus diberi keutamaan kerana membabitkan aspek keselamatan negara dan tidak boleh dilaksanakan seperti projek pembangunan biasa.
“Bila kita dalam kategori untuk menjamin keselamatan negara, kita perlu buat projek ini bukan seperti projek biasa. Ini projek yang perlu diletakkan dalam kuadran mendesak dan penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan ICQS Serikin, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keutamaan berkenaan penting bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, selaras dengan arahan Perdana Menteri supaya projek berkaitan keselamatan negara dipercepatkan.

Menurutnya, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah aspek logistik serta penyediaan infrastruktur asas, termasuk jalan raya, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.
“Kalau bangunan siap tetapi utilitinya tidak ada, itu pun akan menyebabkan kelewatan projek ini,” katanya.
Mustapha berkata, projek berkaitan kemudahan sempadan itu turut menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal MA63 dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, memandangkan kepentingannya dalam memperkukuh kawalan sempadan serta kedaulatan negara di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, semua pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi dan kontraktor perlu memberikan perhatian sewajarnya supaya projek berkenaan dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Oleh Shahrul Qaizat





