KOTA SAMARAHAN: Bangunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sini bakal menjadi ‘pengubah keadaan’ (game changer) kepada petani tempatan dalam mempromosikan produk jualan mereka.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bangunan PPNS itu menyediakan perkhidmatan E-Kedai Peladang untuk petani-petani menjual produk mereka.
“PPNS tidak akan menolak mana-mana (produk) petani. Kita perlu mengenal pasti potensi produk masing-masing, kemudian kita boleh menasihati produk mana yang mempunyai kebolehpasaran yang paling bagus.
“Oleh itu, sesetengah produk memerlukan bekalan yang konsisten, dan kita perlu memastikan sama ada produk itu bermusim atau tersedia sepanjang tahun, petani masih boleh mendapat manfaat.
“Durian dan buah-buahan lain adalah bermusim, tetapi apabila ada buah-buahan bermusim ini, kita mesti pergi ke hiliran dan memprosesnya.
“Dengan cara ini, jualan dapat diteruskan sepanjang tahun,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke bangunan PPNS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Rundi turut menjelaskan bahawa bangunan baharu PPNS itu akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk peruncitan pertanian dan aktiviti hiliran.
Katanya, matlamat kementerian adalah untuk memastikan mereka yang terlibat dalam pertanian di negeri ini mempunyai akses kepada rantaian bekalan yang lengkap daripada pengeluaran kepada runcit.
“PPNS telah ditugaskan untuk membantu kerajaan memastikan sumber pertanian kita, seperti tanaman, tidak dibazirkan,” katanya.
Bangunan PPNS yang menelan kos RM20 juta dengan berkeluasan kira-kira 2.3 hektar itu akan dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 25 September ini.
Pada masa sama, PPNS turut mengadakan pasar tani secara bulanan bagi mempromosikan produk tempatan.
Bangunan ini juga turut menyediakan fasiliti seperti dewan, pusat perniagaan, halaman anak benih, kiosk input pertanian, pasar tani, galeri jualan, kafeteria dan surau.
Selain itu, pada fasa kedua pembangunan PPNS ini juga akan mewujudkan gudang untuk input dan pengangkutan pertanian, bilik sejuk untuk produk petani, kawasan kemudahan eksport untuk pelepasan kastam dan kawasan terbuka untuk dataran perayaan menjelang 2025 nanti.
Turut hadir, Pengurus Besar PPNS Gom Roway dan Timbalan Pengurus Besar Gloria Nanang.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika mengadakan lawatan ke Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di Kota Samarahan hari ini.