Hari Sarawak pupuk perpaduan, gaya hidup sihat rakyat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sambutan Hari Sarawak perlu terus dijadikan platform untuk memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum di samping menyemai amalan gaya hidup sihat sebagai asas kepada pembangunan negeri yang mampan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Hari Sarawak bukan sekadar cuti umum, sebaliknya hari istimewa untuk seluruh anak Sarawak meraikan identiti, kebersamaan dan semangat cintakan negeri.

Beliau berkata, Allahyarham Tun Pehin Sri Adenan Satem yang mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum pada 2016 mengimpikan agar setiap anak Sarawak, tanpa mengira kaum, agama atau di mana mereka berada, menyambut Hari Sarawak dengan penuh rasa bangga terhadap negeri kelahiran mereka.

“Semangat Hari Sarawak adalah untuk semua anak Sarawak. Tidak kira di mana anda berada, sambutlah Hari Sarawak mengikut cara masing-masing.

“Hari ini kita berkumpul, berjalan bersama-sama tanpa mengira sama ada Iban, Melayu, Cina, India atau kaum lain. Inilah semangat kebersamaan yang perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Program Jalan Santai Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama rakyat, malah membantu membina identiti dan jati diri masyarakat Sarawak.

Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) atas komitmen menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak kini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak, justeru rakyat perlu menjaga kesihatan agar terus mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Apabila rakyat sihat, Sarawak juga akan menjadi lebih sihat. Sebaliknya, jika rakyat tidak sihat, negeri turut menanggung kesannya.

“Sebab itu saya menggalakkan semua rakyat mengamalkan gaya hidup sihat supaya kita dapat terus menyumbang kepada kemajuan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan seseorang tetap merupakan anak Sarawak walaupun menetap atau menjadi warganegara di negara lain kerana tempat kelahiran mereka tidak berubah.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya terus menghargai dan menjunjung tinggi bendera Sarawak sebagai lambang identiti, kebanggaan dan penyatuan seluruh anak Sarawak.