Hak Sarawak perlu terus dipertahan berteraskan semangat MA63

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Hak dan kepentingan Sarawak sebagai rakan pengasas pembentukan Malaysia perlu terus dipertahankan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan kedudukan negeri ini sentiasa dihormati dalam Persekutuan Malaysia.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sambutan Hari Sarawak pada setiap 22 Julai bukan sekadar memperingati detik bersejarah apabila rakyat negeri ini mula mentadbir sendiri pada 1963, malah menjadi peringatan terhadap tanggungjawab mempertahankan hak, kepentingan dan masa depan Sarawak.

Menurutnya, Sarawak menyertai pembentukan Malaysia sebagai rakan pengasas melalui MA63 dan bukannya sebagai lanjutan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Katanya, kedudukan tersebut turut diperkukuhkan menerusi Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2021 yang menghubungkan semula Perlembagaan Persekutuan dengan MA63.

“Justeru, hak dan kepentingan Sarawak perlu terus dihormati, bukan sahaja ketika sambutan Hari Sarawak tetapi dalam hubungan berterusan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Sarawak di MBKS, hari ini.

Beliau berkata, semangat pemerintahan sendiri perlu diterjemahkan menerusi penyampaian perkhidmatan yang cekap, inklusif dan berdaya tahan, khususnya di peringkat kerajaan tempatan.

Menurutnya, penyediaan kemudahan awam yang berkualiti, penyelenggaraan infrastruktur secara sistematik, perkhidmatan yang responsif serta ruang awam yang selamat merupakan antara elemen penting dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Sarawak mentadbir urus negeri dengan berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata perpaduan masyarakat pelbagai kaum menjadi kekuatan utama Sarawak dan asas penting dalam mempertahankan hak serta memperkukuh kedudukan negeri di peringkat Persekutuan.

Beliau menjelaskan prinsip Sarawak Didahulukan’ bukan bermaksud menolak Malaysia, sebaliknya mengutamakan kepentingan Sarawak dalam setiap keputusan yang melibatkan hak, sumber dan masa depan negeri sambil terus menjalinkan hubungan kerjasama yang konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan.

Mengulas mengenai pembangunan negeri, Wee berkata kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperkukuh kedudukan kewangan negeri, memperluaskan ekonomi, mempercepat pelaksanaan MA63 serta meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, pendidikan dan transformasi digital.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjejaskan usaha mempertahankan hak perlembagaan serta kepentingan jangka panjang Sarawak, sebaliknya semua pihak perlu terus memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya serta mengelakkan sebarang unsur yang boleh menggugat perpaduan.