Kelibat buaya di Pantai Sematan cetus kebimbangan pengunjung

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEMATAN: Kehadiran seekor buaya di pesisir Pantai Sematan mencetuskan kebimbangan orang awam sebelum haiwan reptilia itu dilaporkan berenang semula ke dalam air selepas dipantau oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), semalam.

ANGGOTA APM Sematan menjalankan pemantauan di Pantai Sematan selepas menerima aduan mengenai kelibat seekor buaya di kawasan pesisir pantai, semalam. Foto APM.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sematan menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira 10.10 pagi memaklumkan terdapat kelibat seekor buaya di tepi pantai sebelum meminta bantuan APM untuk menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan.

Menurut APM Sematan, hasil pemantauan mendapati buaya tersebut telah masuk semula ke dalam air dan tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang awam buat masa ini.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling ketika berada di kawasan persisiran Pantai Sematan.

Menurut APM, kawasan pantai berkenaan sebelum ini pernah dilaporkan mempunyai kehadiran seekor buaya, justeru pengunjung dinasihatkan mengutamakan aspek keselamatan dan mengelakkan daripada menghampiri kawasan yang berisiko.

Orang ramai juga diminta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran buaya atau berlaku sebarang kejadian kecemasan bagi membolehkan tindakan segera diambil.