SERIAN: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di bawah pengurusan baharu akan memberi tumpuan untuk membantu petani, penternak dan nelayan menjual hasil mereka.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia akan menjadi salah satu tugas utama pertubuhan tersebut yang diketuai oleh Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang juga Menteri Muda Pertanian.
“Di bawah beliau, organisasi ini akan disusun semula agar lebih fokus dalam memenuhi keperluan mereka di dalam sektor ini.
“Selain itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga secara khusus telah menugaskan PPN untuk lebih memberi perhatian dalam perkara tersebut.
“Abang Johari juga telah menyarankan PPN untuk bekerjasama dengan STATOS yang merupakan pejabat perdagangan dan pelancongan Sarawak di Singapura,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Komuniti Pertanian di Kampung Riih Daso, Serian, kelmarin.
“Kita perlu memasuki lebih banyak pasar luar negara dan saya menyeru semua Pertubuhan Peladang Kawasan untuk membeli dan memproses produk tempatan khususnya petani di Sarawak yang mempunyai masalah pemasaran.
“Kita ingin membantu setiap keluarga petani untuk memperolehi pendapatan bulanan RM4,000 dari usaha mereka itu.
“Dengan ini, mereka akan dapat menaik taraf hidup dengan lebih baik dan ia adalah objektif kerajaan negeri untuk rakyat,” jelasnya.
Sementara itu Uggah turut menyatakan bahawa telah tiba masa bagi petani, penternak dan nelayan untuk menerapkan teknologi moden dan sains dalam usaha mereka.
“Ini akan membolehkan mereka menghasilkan barang yang lebih bermutu agar dapat bersaing dengan pengeluar lain di Asia.
“Kita sudah menjual 2,000 babi hidup selain ikan tilapia ke Singapura setiap minggu.
“Selain itu, kita juga menjuga pes durian ke China dan Taiwan,” ujarnya.
Tambahnya, itu jelas membuktikan bahawa Sarawak masih mempunyai banyak produk yang berpotensi untuk dieksport dan sehubungan itu, rakyat mestilah mempunyai disiplin, semangat dan komitmen untuk berjaya.
Terdahulu, Uggah melancarkan projek pembiakan ikan tilapia komuniti di mana 9, 000 anak ikan tilapia telah dilepaskan dalam jaring di kampung tersebut.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Semuja John Ilus, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Dr.Alvin Chai dan Residen Serian Tuah Suni.
Oleh Zarina Abdullah