MUKAH: Taman Boulevard Setiaraja Mukah di sini adalah antara lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, sekali gus juga menyaksikan perang poster dan bendera di bandar Mukah ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Lokasi itu dipilih kerana ia terletak di tengah-tengah bandar Mukah yang merangkumi pusat komersial seperti Bandar Lama Mukah, Bandar Baru Mukah yang merangkumi tiga fasa dan Medan Setia Raja.
Sudah semestinya perang poster itu membabitkan logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun, kebanyakannya adalah logo dan poster GPS, menengelam poster PH-PKR.
Kerusi Parlimen Mukah sekali lagi menyaksikan ulangan PRU-14 apabila dua calon yang sama bertembung sekali lagi dalamn saingan satu lawan satu.
Calon GPS-PBB di situ ialah Dato Hanifah Hajar Taib yang berusaha untuk mengekalkan kerusi itu bagi penggal kedua dan pencabarnya ialah Abdul Jalil Bujang (PH-PKR) yang ditewaskannya pada 2018 dengan majoriti 7,000 undi.
Hanifah memperoleh 13,853 undi, manakala Abdul Jalil 6,853 undi.
Parlimen Mukah merangkumi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu DUN N56 Dalat, DUN N57 Tellian dan DUN N58 Balingian, yang mempunyai sejumlah 46, 964 pengundi.