PEMAIN antarabangsa Republik Demokratik Congo, Chancel Mbemba menjaringkan dua gol bagi membolehkan FC Porto menumpaskan seteru lama, Benfica 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Portugal awal pagi kelmarin.
Mbemba, pertahanan berusia 25 tahun, menjaringkan kedua-dua gol pada separuh masa kedua dalam aksi final yang berlangsung tanpa penonton di Coimbra.
Kemenangan itu membolehkan Porto melengkap kejayaan berganda namun mereka memilih cara yang lebih sukar.
Pemain sayap Colombia, Luis Dias diperintah keluar padang pada minit ke-38 dan jurulatih, Sergio Conceicao turut menerima kad merah lima minit kemudian.
Mbemba menanduk masuk gol pembukaan berpunca dari sepakan percuma dua minit selepas aksi babak kedua bersambung dan melakukan perkara sama menerusi satu lagi ‘set piece’ pada minit ke-58.
Benfica merapatkan jurang pada minit ke-84 menerusi sepakan penalti pemain Brazil, Carlos Vinicius.
Kali terakhir Porto meraih kejuaraan berganda pada 2011.