MIRI: Populasi iguana hijau yang semakin ketara di beberapa kawasan di bandar raya ini mula mencetuskan konflik manusia-hidupan liar apabila reptilia berkenaan dilaporkan merosakkan tanaman serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada komuniti sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung gangguan haiwan berkenaan.
Menurutnya, antara aduan diterima termasuk tanaman sayur, bunga dan pokok hiasan di kawasan kediaman rosak selepas dimakan iguana.
“Banyak aduan diterima daripada komuniti. Mereka memberitahu kebun di belakang rumah, sayur tinggal tulang sahaja, manakala bunga dan pokok hiasan seperti orkid turut rosak kerana dimakan.
“Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan ekosistem di kawasan Miri dan kita perlu melihat isu ini secara lebih menyeluruh,” katanya kepada media semasa hadir pada operasi penangkapan spesies haiwan invasif Iguana Di Taman Bulatan di sini malam tadi.

Abang Arabi berkata, beberapa lokasi dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan populasi iguana termasuk Batu Satu Kuala Baram, Piasau termasuk Rizab Semulajadi Piasau serta Taman Bulatan.
Bagaimanapun, operasi kawalan ketika ini lebih tertumpu di Taman Bulatan berikutan kawasan itu menjadi lokasi rekreasi awam dan membabitkan aspek keselamatan pengunjung.
Katanya, SFC turut menerima aduan mengenai pengunjung yang berasa takut apabila terserempak dengan iguana ketika berjoging, termasuk kebimbangan ibu bapa yang membawa anak kecil.
“Apabila orang nampak iguana, ada yang menyangka ia seperti naga dan berasa takut haiwan itu terjun ke dalam air atau menghampiri mereka.
“Ini berkaitan dengan keselamatan orang awam yang menggunakan kawasan rekreasi ini,” katanya.
Sementara itu, SFC bersama Majlis Bandaraya Miri (MBM) melaksanakan operasi kawalan secara berkala bagi mengurangkan populasi iguana hijau di Taman Bulatan.
Operasi pada waktu malam dipilih bagi mengurangkan gangguan kepada orang awam selain meningkatkan keberkesanan pengesanan dan penangkapan reptilia berkenaan.
Sebanyak 49 ekor iguana hijau direkodkan berjaya ditangkap menerusi operasi yang dijalankan pada April, Jun dan Julai tahun ini.
April lalu, sebanyak 16 ekor ditangkap dalam dua operasi, manakala 26 ekor lagi berjaya ditangkap antara 10 hingga 12 Jun dan tujuh ekor pada 21 Julai.
Iguana yang ditangkap terdiri daripada spesimen juvenil dan dewasa.
Abang Arabi berkata, pemantauan pada Ogos turut menemukan iguana bersaiz lebih kecil di kawasan berhampiran, menunjukkan usaha kawalan perlu diteruskan bagi mengelakkan populasinya terus berkembang.
Dalam operasi terbaru, pasukan SFC dan MBM turut menggunakan peralatan pengesanan seperti teropong penglihatan malam dan teropong terma bagi mengesan iguana dalam keadaan gelap.
“Peralatan ini baharu diterima kira-kira dua minggu lalu dan operasi malam ini menjadi antara ujian awal untuk melihat keberkesanannya dalam mengesan iguana,” katanya.
Beliau berkata, SFC juga sedang membangunkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi menangani isu iguana hijau yang disifatkan sebagai cabaran baharu dalam pengurusan hidupan liar di Sarawak.
Katanya, kaedah kawalan perlu dikaji dengan teliti kerana iguana bukan mudah ditangkap menggunakan kaedah biasa seperti jala.
Dalam masa sama, beliau menegaskan operasi berkenaan bukan bertujuan mengabaikan kebajikan hidupan liar, sebaliknya memastikan keselamatan awam dan pengurusan hidupan liar dilaksanakan secara profesional.
SFC turut mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan pencinta haiwan, termasuk Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA).
“Kita mengalu-alukan kerjasama mereka kerana apa yang kita lakukan adalah untuk keselamatan awam dan pada masa sama memastikan pengurusan hidupan liar dilaksanakan secara profesional,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling





