PENAMPILAN unik peserta Pertandingan Memanah Terbuka Sarawak Saribas Invitation 2022 bertempat di Padang
Sukan Debak kelmarin.
DEBAK: Mengenakan tengkolok lengkap bersama persalinan hulubalang mahupun laksamana antara penampilan unik peserta Pertandingan Memanah Terbuka Sarawak Saribas Invitation 2022 bertempat di Padang Sukan Debak kelmarin.
Tidak kisah dalam keadaan cuaca panas terik, sebahagian besar peserta lelaki dan wanita masing-masing bangga memperagakan pakaian tradisi Melayu lama itu.
Malah gaya mereka bertambah menonjol sambil menggalas busur kayu di bahu berserta kantung kulit berisi anak panah menarik perhatian penonton pertandingan berkenaan.
Sesuai dengan pertandingan terbabit dengan membawa mesej memartabatkan warisan Melayu menerusi sukan tradisi itu, rata-rata peserta memperlihatkan betapa mereka amat menghargai peralatan riadah tradisi itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata, pertandingan seperti itu dapat membantu meningkatkan kumpulan pemanah tradisional termasuk dalam kalangan generasi muda.
Beliau menjelaskan, Kelab Memanah Saribas perlu memperbanyakkan program, acara dan kejohanan sekali gus menarik lebih ramai masyarakat dan golongan muda menyertai sukan memanah.
“Saya nampak masyarakat semakin meminati sukan memanah dan ini satu petunjuk yang positif.
“Saya berharap sepenuhnya kepada Kelab Memanah Saribas untuk menyusun atur perancangan bagaimana untuk membangunkan potensi sukan memanah di kawasan tengah Sarawak,” katanya.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, ketika ini usaha menjadikan sukan memanah seperti sukan popular yang lain harus dipergiatkan.
Beliau memuji komitmen Kelab Memanah Saribas yang berjaya menganjurkan Pertandingan Memanah Terbuka Sarawak Saribas Invitation 2022 dengan penyertaan 150 pemanah daripada 20 kelab dari seluruh Sarawak.
“Ini menunjukkan Saribas kini semakin dikenali dengan sukan memanah. Saya berharap sukan ini terus berkembang dalam kalangan semua peringkat umur sebagai sukan rekreasi selain mampu menjadi fenomena,” ujarnya.