SIBU: Seorang lelaki yang mempunyai kes lampau berkaitan dadah ditahan semalam bersama dadah anggaran berat kasar 221.72 gram dengan nilai rampasan dadah semasa dianggarkan berjumlah RM2,600.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu menahan suspek berusia 24 tahun di sebuah rumah di Jalan Sentosa sekitar jam 3.30 petang.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menjumpai tujuh paket plastik warna putih bertulis Juice Master berisi serbuk jus disyaki dadah jenis Ecstacy yang disimpan di dalam kotak bertulis Maxis.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Amphatemine/Ketamine/Benzodiazepam(METH/AMP/KET/BENZO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, semakan kes lampau juga mendapati suspek mempunyai kes berkaitan dadah.
“Suspek seterusnya ditangkap dibawah Seksyen 39B ADB 1952 dan telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
“Hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati.
“Bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun dibawah seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.