KUCHING: Polis menahan dua suspek warga tempatan, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, yang dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan di Jalan Canna pada 18 Julai.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua suspek berusia antara 19 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira 1.05 pagi semalam dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kuching bersama Unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Jalan Satok.
Alexson berkata keputusan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
Katanya, semakan rekod jenayah mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
Kedua-dua suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun yang mendatangkan kecederaan. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.




