KUCHING: Polis menahan lima individu termasuk ketua sebuah parti politik di sini malam tadi untuk siasatan lanjut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mereka ditahan berikutan tiga laporan polis dibuat berkaitan klip video yang viral dikongsi dalam What’sApp dan facebook petang semalam.
“Dalam video itu, seorang lelaki dilihat bercakap menerusi pembesar suara di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Abang Haji Openg dan berdekatan sebuah pusat komersial di Jalan Datuk Tawi Sli,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, ketua sebuah parti politik itu dikatakan mengutuk usaha kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GSP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam video yanbg disebarkan itu.
Mohd Azman berkata video yang disebarkan di sosial media itu turut menunjukkan kenderaan digunakan kumpulan terbabit dilihat turut dipasang poster bertulis ‘No to PAS’ (Tidak kepada PAS) yang bergerak di sekitar bandar raya.
Ketika ditahan malam tadi, polis turut merampas tiga kenderaan yang dipercayai digunakan ketika mereka berarak di sekitar bandar raya termasuk poster.
Katanya, polis kewtika ini menyiasat kes mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Azman juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menganggu keamanan dan menimbulkan keadaan huru-hara dalam masyarakat.
“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati melakukan provokasi,” katanya.
Beliau berkata, polis kini melakukan sekatan jalan raya di 35 lokasi di seluruh negeri.
Oleh CONNIE CHIENG