KUCHING, 3 November: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Sarawak bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan pengurusan bencana di negeri ini.
Usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat Pengarah APM, TPj. (PA) Mohtar Samat ke pejabat MET Malaysia Sarawak, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan mempererat hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi, khususnya dalam aspek penyelarasan dan perkongsian maklumat berkaitan pemantauan cuaca, penyampaian amaran awal serta pengurusan risiko bencana.
Kerjasama itu penting bagi memastikan maklumat berkaitan keadaan cuaca dapat diselaraskan dengan berkesan, sekali gus membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana di Sarawak.

Turut mengiringi Mohtar ialah Mej. (PA) Zulfaituri Ramlee, Mej. (PA) Madihi Habib, Kapt. (PA) Hasrol Awi dan Kapt. (PA) Nazura Marlinda Sabran.
Jalinan kerjasama antara kedua-dua agensi itu diharap dapat memperkukuh koordinasi serta keberkesanan tindakan dalam pengurusan bencana demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Shikin Mahmud




