KUCHING: Dakwaan seorang wanita bahawa bayi perempuannya telah diabaikan di sebuah taska baru-baru ini telah mendapat perhatian pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menteri berkenaan Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab bagi memastikan pengusaha taska berdaftar mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Taska 1984 bagi memudahkan pengesanan sebarang kes yang berlaku di premis mereka.
“Dari semasa ke semasa, kita akan melihat apa yang perlu untuk memperbaiki keadaan di taska-taska. Malah kami sudah mengadakan garis panduan untuk para kakitangan dan kita menguatkan lagi syarat-syarat untuk dipatuhi oleh mereka,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri program Kasih Ramadan KPWKM di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, sememangnya pegawai KPWKM mempunyai jadual tertentu untuk mengadakan pemeriksaan terhadap taska yang berdaftar.
Jelasnya lagi, kes diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat dan beliau dimaklumkan bahawa seorang suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.
Tegasnya, agak mudah untuk pihak KPWKM mengambil tindakan memandangkan kes berlaku di taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Nancy turut memaklumkan bahawa antara syarat pengoperasian taska adalah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
“Sebab itulah kalau kita memerlukan bukti, CCTV akan menjadi kekuatan dan ia juga perlu berfungsi dengan baik,” ujarnya pada masa sama menunggu tindakan lanjut pihak polis selepas ini.
Beliau mengulas isu tular di media sosial yang mendakwa taska terbabit mengabaikan bayi perempuan berusia setahun sebulan itu tanpa sebarang pengawasan di dalam bilik isolasi dan telah menjadi mangsa gigitan kanak-kanak lain.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz memaklumkan kesan gigitan terhadap bayi tersebut juga selari dengan kesan gigitan kanak-kanak seusia dan perkara itu juga disahkan pegawai perubatan selepas mangsa dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.
Kes terhadap taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu juga juga disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Oleh Azreen Keria