
SERIAN: Polis menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal di Kampung Tanah Puteh.
Ketua Polis Daerah Serian, Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata kesemua suspek berumur antara 17 hingga 26 tahun.
Polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y15, enjin motosikal dan beberapa komponen berkaitan.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis amphetamine. Semakan lanjut juga menunjukkan mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah harta benda,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di talian 082-874201.
Oleh Connie Chieng