SERIAN: Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata polis sedang menyiasat kes penipuan pembelian van secara dalam talian melalui Facebook yang menyebabkan seorang lelaki kerugian RM5,000.
Beliau berkata, pada 13 Ogos lalu, mangsa melihat iklan sebuah Toyota Hiace 2.5 M Window Van High Roof tahun 2012 berharga RM32,000 di Facebook.
“Mangsa kemudian menghubungi individu terbabit melalui WhatsApp sebelum membuat dua pembayaran berjumlah RM5,000 ke akaun bank yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bayaran pertama dibuat sebagai wang tempahan, manakala bayaran kedua dikatakan untuk tujuan insurans dan cukai jalan.
Individu terbabit kemudiannya meminta bayaran tambahan RM4,800 dengan alasan ia diperlukan bagi membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menyedari dirinya mungkin ditipu, mangsa enggan membuat bayaran lanjut sebelum tampil membuat laporan polis.
Mangsa turut menyerahkan salinan kad pengenalan dan lesen memandu kepada individu berkenaan melalui WhatsApp.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan pihak terbabit serta membuat semakan terhadap nombor telefon dan akaun bank yang digunakan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Bian menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan jual beli kenderaan di Facebook atau platform media sosial lain.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terhadap identiti penjual dan maklumat kenderaan sebelum melakukan sebarang transaksi, tidak membuat pembayaran ke akaun bank yang tidak dapat disahkan serta tidak menyerahkan salinan kad pengenalan, lesen memandu atau dokumen peribadi kepada individu yang tidak dikenali,” katanya.
Mangsa penipuan dalam talian juga diminta supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan membuat laporan polis.
“Jangan mudah terpedaya. Semak dahulu sebelum membuat pembayaran,” katanya.
Oleh Connie Chieng





