SHEILA ZAIDI
KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersiap siaga mengawal kebanjiran orang ramai ke Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi urusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa berkata, untuk itu orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa membuat pengeluaran wang BPN di kaunter dan di mesin juruwang automatik (ATM) di BSN.
“IPD Kuching telah membuat persiapan, perancangan dan langkah awal untuk menangani situasi sepanjang proses pembayaran bantuan ini sehingga selesai.
“Perbincangan awal bersama pihak Pengurus Cawangan BSN telah diadakan dan kami telah membuat lawatan ke beberapa Cawangan BSN iaitu di Tabuan Jaya, Padungan, Sekama dan Satok sebagai persiapan awal dalam menangani kehadiran orang ramai ke bank berkenaan untuk proses pembayaran bantuan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Merbin, keutamaan akan diberikan kepada dua cawangan BSN iaitu di Tabuan Jaya dan Padungan yang turut beroperasi pada hujung minggu.
Katanya, kawalan, hebahan dan pemantauan diadakan IPD Kuching dengan dikawal selia oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan dibantu Ketua Polis Balai yang berkenaan.
Turut membantu di lokasi adalah Polis Bantuan BSN sendiri dan RELA untuk mengawal situasi semasa di dua cawangan itu yang beroperasi pada hujung minggu atas urusan pembayaran bantuan tersebut, uajrnya.
Beliau turut menjelaskan pemantauan IPD Kuching yang bermula pada jam 7.00 pagi sehingga urusan selesai pada jam 2.00 petang mendapati orang awam yang berkunjung di kedua-dua cawangan bank mematuhi arahan PKP.
Pemantauan itu katanya, diketuai olehnya sendiri dan dibantu pegawai MPV Kuching Asp Mohd Fauzi.
“Berdasarkan pemerhatian kami, orang ramai yang hadir berurusan pada 18 dan 19 April di BSN Cawangan Padungan adalah kira-kira 300 hingga 350 orang manakala di BSN Cawangan Tabuan Jaya sekitar 500 hingga 550 orang.
“Namun, jumlah orang yang hadir terpaksa dihadkan bagi memudahkan dan melancarkan urusan pihak bank dan orang ramai yang hadir,” kata Merlin.
Tambahnya, bagi yang terlepas boleh hadir pada waktu bekerja bermula Isnin dan hari-hari seterusnya.
Katanya lagi, kaunter akan mula beroperasi pada jam 9.00 pagi dan hanya tiga kaunter yang akan dibuka.
Sementara itu, hanya tiga orang yang dibenarkan untuk masuk ke dalam bank pada satu masa dan perlu memakai penutup mulut dan hidung.
Jelasnya, orang ramai juga dibekalkan dengan cecair sanitasi tangan dan pemeriksaan suhu oleh petugas bank sebelum berurusan.
Orang ramai yang sedang berurusan dan beratur menunggu giliran dinasihatkan supaya mengamalkan penjarakan sosial satu meter antara individu.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, IPD Kuching akan sentiasa membuat kawalan dan pemantauan dari semasa ke semasa di semua cawangan BSN agar peraturan semasa PKP sentiasa dipatuhi.