MIRI: Anak syarikat Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), dengan kerjasama polis membongkar kes sambungan elektrik secara haram untuk perlombongan mata wang kripto di Desa Senadin, baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan, serbuan itu mendedahkan kabel sambungan haram yang digunakan untuk menggerakkan 25 pelayan (servers) mata wang kripto.
Katanya, kabel-kabel tersebut ditemui tersembunyi di siling kawasan kaki lima premis dua tingkat tersebut, yang memintas meter elektrik.
“Aktiviti haram ini dianggarkan menyebabkan kerugian bulanan sebanyak RM18,000 akibat penggunaan elektrik tanpa bayaran.
“Pasukan SESCO telah memusnahkan sambungan haram di lokasi dan merampas semua pelayan sebagai bahan bukti.
“Laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, penemuan ini berlaku hanya beberapa minggu selepas kes serupa ditemui di Vistana Perdana, Miri, di mana sebuah rumah sewa satu tingkat juga dikesan memintas meter elektrik menggunakan kaedah serupa.
Untuk rekod, pada 2024, sebanyak 48 kes kecurian elektrik berkaitan perlombongan mata wang kripto direkodkan di Miri, daripada keseluruhan 56 kes di seluruh Sarawak, yang mengakibatkan kerugian melebihi RM20 juta.
Tambah Sarawak Energy, sambungan elektrik haram bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan tetapi juga menimbulkan bahaya keselamatan seperti risiko kebakaran, kejutan elektrik, dan kerosakan kepada infrastruktur akibat pendawaian yang tidak terkawal.
Sambungan ini turut menjejaskan bekalan elektrik di kawasan kejiranan, menyebabkan gangguan dan kesulitan kepada penduduk.
“Di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 dan/atau penjara maksimum lima tahun.
“Pemilik hartanah turut diingatkan untuk memantau aktiviti di premis mereka bagi mengelakkan kejadian serupa, kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Pada masa sama, Sarawak Energy menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bagi membanteras kecurian elektrik serta memastikan pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti kecurian elektrik diminta melaporkannya kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau melalui emel di customercare@sarawakenergy.com.