LIMBANG: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Limbang merampas rokok pelbagai jenama dalam satu pemeriksaan di kawasan lapang di Kampung Lubuk Piasau, Limbang semalam.
Melalui kemaskini laman Facebook rasmi Pasukan Polis Marin Sarawak, operasi dijalankan hasil maklumat dan risikan membabitkan seorang pegawai dan enam anggota.
“Semasa tiba di kawasan itu, pasukan serbuan melihat dua kereta diparkir di suatu kawasan lapang yang tersembunyi dan gelap.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta terbabit menemui kotak-kotak dipercayai rokok tidak bercukai. Kunci kedua-dua kereta masih berada di dalam kereta itu ,”kata kenyataan itu.
Ia menyatakan pasukan serbuan menunggu selama dua jam di situ tetapi tiada siapa yang datang menuntut barang-barang berkenaan.
Kereta berisi rokok tidak bercukai itu kemudian dibawa ke Markas Taktikal PPM W5 Limbang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
Oleh ADENG EDRUS