BATU NIAH: Polis sedang memburu seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah pasar mini berhampiran persimpangan Ngu, Batu Niah, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan laporan mengenai kejadian itu dibuat pada hari yang sama berlakunya rompakan.
“Mangsa terlibat merupakan juruwang yang menjaga kaunter telah didatangi suspek bersenjatakan parang dan meminta wang tunai daripada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alexson berkata, mangsa menyerahkan RM1,000 kepada suspek yang kemudian melarikan diri dari premis itu tanpa mencederakannya.
Beliau mendedahkan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu merakamkan wajah suspek.
“Suspek telah dikenal pasti merupakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan polis kini sedang mengesannya,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi polis Miri di talian 085-433730.