BINTULU: Seorang suspek lelaki tempatan ditahan pihak polis susulan kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bintulu yang berlaku, 10 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali, memaklumkan bahawa kejadian tersebut dilaporkan melibatkan seorang suspek berpakaian serba hitam yang menyerbu masuk ke kedai berkenaan sebelum mengancam juruwang menggunakan sebilah parang.
Katanya, suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan wang tunai dari mesin kira-kira dan turut mengambil dua unit telefon bimbit milik mangsa.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian membantu pasukan kami mengenal pasti suspek.
“Operasi Khas dilancarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Betong. Hasil tindakan pantas, seorang lelaki berjaya ditangkap di kawasan rumah setinggan di Jalan Semumok, Betong pada 2.15 petang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian serta beberapa unit telefon bimbit untuk membantu siasatan.
Menurut beliau, suspek kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda. Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Superintenden Nixon turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hafizuddin Zaidi di talian 014-6066 404 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.