KUCHING: Amaran berulang kali diberikan oleh polis melalui hebahan media massa berkenaan pematuhan SOP penjarakan fizikal.
Bagaimanapun masyarakat awam masih gagal mematuhinya dan bersikap sambil lewa dengan arahan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani dalam satu kenyataan berkata, dua pemeriksaan dijalankan oleh anggota polis di tempat tumpuan orang ramai iaitu di Tebingan Kuching dan satu lagi di sebuah premis hiburan di Jalan Song pada Ahad.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan itu, seramai 13 individu yang berada di tempat awam dan tiga pelanggan yang mengunjungi premis hiburan tersebut didapati melanggar peraturan PKPP dan kesemua mereka gagal mengamalkan SOP penjarakan fizikal seperti yang diwartakan oleh kerajaan.
Dalam pemeriksaan yang sama, polis juga menahan serta membuka kertas siasatan terhadap tujuh warganegara asing yang turut berada di tempat awam tersebut kerana melakukan kesalahan sama.
Mereka terdiri daripada 13 lelaki dan 10 wanita yang kesemuanya dalam lingkungan umur 18 hingga 26 tahun.
Susulan dengan itu, 16 warga tempatan diarahkan untuk hadir ke IPD Kuching kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 PPPPB (No.7) 2020 iaitu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dan 7 warganegara asing ditahan untuk siasatan selanjutnya.
Awang Din berkata, walaupun kompaun dikeluarkan hampir setiap hari ke atas orang awam yang gagal mematuhi syarat PKPP serta amaran dihebahkan di media massa sebagai langkah kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia terus berwaspada, namun orang awam semakin leka untuk mematuhi SOP penjarakan fizikal.
Dengan kes terbaru yang dilaporkan di negeri ini, sepatutnya masyarakat awam berganding bahu dan berusaha memutuskan rantaian penularan Covid-19, katanya dan menegaskan, orang ramai jangan terlalu memandang ringan wabak pandemik Covid-19.
Kesemua 16 individu itu kemudiannya dikompaun dan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun RM1,000 setiap seorang.
Manakala tujuh warganegara asing yang ditahan, polis akan merujuk kertas siasatan yang dibuka kepada Timbalan Pendakwaraya Negeri Sarawak untuk didakwa di Mahkamah.
Awang Din berharap orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan sentiasa mengikuti saranan Kerajaan dalam tempoh PKPP dengan mematuhi SOP penjarakan fizikal bagi membendung penularan Covid-19.
Oleh Connie Chieng