Polis bekerjasama dengan Interpol buru pengasas eHati, suami

Facebook
WhatsApp
PASANGAN suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga antara enam individu yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penganjuran program motivasi dengan pengisian tidak bermoral. Foto fail BERNAMA

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan kerjasama polis  antarabangsa (Interpol) bagi mengesan pengasas sebuah program motivasi rumah tangga eHati dan suaminya yang dipercayai berada di luar negara.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihak Interpol akan memaklumkan PDRM jika dua suspek itu ditangkap.

“Kita percaya dua suspek masih berada di luar Malaysia dan tindakan sewajarnya telah diambil pihak polis untuk memastikan jika (mereka) dikesan di negara-negara berkaitan, tangkapan dapat dilakukan,” katanya. 

Shazeli berkata demikian pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Pada 14 November tahun lepas, Shazeli berkata pengasas program motivasi kontroversi eHATI dan suaminya dipercayai melarikan diri ke luar negara sehari sebelum pertuduhan terhadap mereka dibuat di mahkamah. 

Semasa itu, pasangan tersebut dipercayai berada di sebuah negara di Asia Tenggara.- Bernama