
MUKAH: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai melibas parang sehingga mencederakan seorang anggota polis bantuan dalam kejadian di kawasan rumah pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sebakong, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 6.00 petang semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar 4.40 petang, apabila mangsa yang berusia 45 tahun bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan oleh rakan sekerja mengenai seorang pekerja ladang yang bertindak membuat bising di kawasan rumah pekerja.
“Setibanya di lokasi, mangsa mendapati suspek sedang membuat bising sambil memegang sebilah parang. Ketika mangsa cuba mententeramkan keadaan, suspek secara tiba-tiba melibas parang ke arahnya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher,” ujarnya dalam kenyataan,” hari ini.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan dengan bantuan beberapa pekerja lain yang berada di tempat kejadian, namun berlaku pergelutan apabila suspek bertindak agresif sehingga menyebabkan suspek turut mengalami kecederaan.
“Mangsa dan suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Mukah untuk menerima rawatan, mangsa menerima 12 jahitan di bahagian leher dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah membuat tangkapan semula terhadap suspek bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebilah parang berukuran 53 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut untuk dijadikan barang kes.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif dipercayai akibat pengaruh alkohol serta perselisihan faham dengan pihak pengurusan syarikat,” jelasnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
“Selain itu, kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas suspek didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek yang berusia 39 tahun kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah sementara menunggu proses pendakwaan,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman