KUCHING: Jika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diadakan pada September atau Oktober tahun ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan Pakatan Nasional (PN) dijangka akan menang.
Penganalisis Politik, Dato Peter Minos berkata, beliau menjangkakan juga rakyat Malaysia sudah tentu akan memberikan sokongan yang teguh kepada Muhyiddin dan PN.
“Saya dapat rasakan suasana atau emosi politik dalam kalangan rakyat sekarang sudah berubah, rakyat letih dan muak dengan Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahaim.
“Oleh itu, rakyat Malaysia sudah pasti akan menghukum mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau terdahulu berkata, PRU-15 diramal akan diadakan tidak lama lagi pada September atau Oktober tahun ini, selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Banyak faktor menyumbang kepada pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi, antaranya ialah serangan dan kritikan berterusan daripada Tun Dr. Mahathir Mohmad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka terus menyatakan bahawa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri melalui ‘pintu belakang’ malah menyangka kita semua tahu bahawa Muhyiddin dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dengan betul dan berperlembagaan setelah Tun Mahathir mengundurkan diri secara tiba-tiba,” katanya.
Minos mengatakan faktor lain ialah Pakatan Harapan (PH) secara aktif cuba memikat ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk keluar parti kerana mengetahui bahawa Muhyiddin dan kumpulan PN mempunyai majoriti yang sangat tipis di Parlimen.
“Saya yakin Muhyiddin tahu dia tidak dapat bertahan lama dengan majoriti tipis ini dan ancaman pembelotan.
“Jadi, dia tidak punya pilihan selain kembali kepada rakyat dan mendapat mandat mereka.
“Politik buruk dan negatif ini mesti berakhir.
“Oleh itu, pilihan raya yang akan diadakan lebih awal adalah sangat mustahak untuk membebaskan Malaysia daripada keperitan politik daripada menjadi buruk,” katanya.