PMKS perlu tingkat produktiviti seiring kenaikan gaji minimum

Facebook
WhatsApp
DATO Jonathan Chai.

KUCHING, 9 Oktober: Peningkatan produktiviti dan sokongan bersasar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) penting bagi memastikan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan daya saing perniagaan.

Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), Dato Jonathan Chai berkata, walaupun kenaikan gaji dapat membantu pekerja menangani peningkatan kos sara hidup, majikan turut berdepan pertambahan kos penggajian dan operasi.

“Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan angka gaji, tetapi memastikan pertumbuhan pendapatan pekerja disokong oleh peningkatan produktiviti, kelangsungan perniagaan dan pengukuhan daya saing ekonomi,” katanya dalam kenyataan berhubung pelaksanaan dasar itu.

Belanjawan 2027 menetapkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Chai berkata, PMKS yang mempunyai sumber kewangan terhad dan margin keuntungan kecil mungkin menghadapi tekanan lebih besar untuk menyerap peningkatan kos berbanding syarikat besar.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperluas akses PMKS kepada latihan kemahiran, bantuan automasi dan pendigitalan serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Kerajaan perlu membantu PMKS mempercepat transformasi digital, mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI), menambah baik proses pengurusan serta meningkatkan kemahiran pekerja supaya perusahaan dapat beroperasi dengan lebih cekap,” katanya.

Beliau turut berkata, butiran pengecualian bagi PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta perlu diperjelas, termasuk tempoh, syarat kelayakan dan mekanisme pelaksanaannya bagi membolehkan perusahaan merancang kewangan serta keperluan tenaga kerja.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan sokongan kepada PMKS di Sarawak mengambil kira perbezaan kos pengangkutan, bekalan tenaga kerja dan akses pasaran antara kawasan bandar dengan luar bandar serta pedalaman.

Chai berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dan pertubuhan perniagaan penting bagi memastikan perusahaan tempatan mendapat akses kepada pembiayaan, latihan dan kemudahan sokongan yang bersesuaian.

Beliau menegaskan bahawa kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan perlu bergerak seiring bagi membolehkan perusahaan terus berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.