MANILA, 14 November: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung esok hingga 17 November ini.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 8.00 malam.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Turut hadir Setiausaha Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) Filipina Juanito Victor “Jonvic” C. Remulla Jr.
Pada Isnin, Anwar dijadual menghadiri siri sidang kemuncak ASEAN bersama dengan rakan dialog utama, iaitu China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Australia dan Korea Selatan.
Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas pulang ke tanah air pada petang hari sama bagi menyambut lawatan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron di Malaysia pada pagi 17 November sebelum kembali semula ke Manila pada sebelah petang.
Sekembalinya ke Manila, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat dan majlis makan malam rasmi yang dihoskan Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr.
Sepanjang ketiadaan Perdana Menteri pada 17 November, Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN bersama dengan Jepun dan India serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-21.
Selain jadual persidangan yang padat, Anwar turut dijangka mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota ASEAN di sela-sela sidang kemuncak berkenaan.
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani selain pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan.
Persidangan tahunan ini didahului dengan empat mesyuarat peringkat menteri hari ini termasuk Konsultasi Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara berhubung isu Myanmar.
Abdul Malik dalam sesi taklimat bersama dengan media Malaysia sebelum ini berkata penyertaan Perdana Menteri membolehkan Malaysia mempengaruhi dasar serantau dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
“Sidang Kemuncak ini menyediakan platform strategik untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin Negara-Negara Anggota ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog sekali gus memupuk dialog mengenai cabaran bersama yang mendesak di samping memperkukuh hubungan dua hala yang utama,” katanya. – Bernama




