KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam akan membantu meningkatkan ekonomi dan membina semula keyakinan pengguna, kata Kenanga Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu berkata PKPB juga akan memberi manfaat kepada perbelanjaan domestik sekiranya prosedur operasi standard dipatuhi dengan ketat.
“Di dalam negara, kelonggaran sekatan pergerakan akan membolehkan perniagaan menyambung semula aktiviti ekonomi, menjana hasil dan seterusnya dapat menangani isu pemberhentian pekerja.
“Dengan aliran pendapatan masa depan yang lebih stabil, pengguna akan dapat berbelanja, justeru itu menyokong pertumbuhan penggunaan swasta,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan semalam.
Bagaimanapun, sebarang peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat susulan PKPB dijangka berlaku secara beransur-ansur dan juga bergantung sepenuhnya kepada perkembangan kes baharu pandemik Covid-19 pada hari-hari mendatang, kata Kenanga Investment.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB berkuat kuasa 4 Mei hingga 12 Mei, susulan kemajuan yang dicatatkan dalam usaha membendung pandemik tersebut.
Bank pelaburan itu berkata kadar pengangguran dijangka masih melebihi 4.0 peratus tetapi terkawal di bawah 5.0 peratus tahun ini memandangkan pakej rangsangan fiskal dan kelonggaran monetari bagi membantu menangani impak Covid-19.
Pada akhir Februari, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus.- Bernama