MIRI: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri, di sini, esok.
Konvensyen yang dijadual bermula 7.00 pagi itu menghimpunkan perwakilan dan pimpinan PBB Zon Utara dalam agenda yang turut memberi tumpuan kepada pembangunan Sarawak serta isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Program dimulakan dengan pendaftaran peserta sebelum dua sesi taklimat, masing-masing berkaitan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) pada 8.15 pagi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 9.00 pagi.
Majlis perasmian pula dijadual bermula dengan ketibaan jemputan dan kenamaan pada 10.00 pagi, diikuti ketibaan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekitar 10.30 pagi.
Konvensyen berkenaan dijangka menjadi platform penting bagi pimpinan dan anggota PBB Zon Utara memperkukuh kesepaduan parti serta menyelaras hala tuju perjuangan dan pembangunan Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling





