PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memasuki fasa ‘keras’ dalam usaha memastikan masyarakat patuh kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata meskipun terdapat penurunan jumlah penahanan individu dalam pemeriksaan dan sekatan jalan raya, namun masih ramai yang berdegil dalam mematuhi PKP.
“Mulanya berlembut dan menasihati, selepas itu bertukar kepada tegas dan kini mod pihak polis adalah keras, jadi kita harap rakyat patuh (PKP),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Putrajaya semalam.
Mengenai status pemeriksaan dikendalikan polis, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, 562 individu ditahan semalam berbanding 583 pada Selasa sekali gus menunjukkan terdapat penurunan dari segi tangkapan.
“Jika 3.6 peratus trend penurunan ini menunjukkan pematuhan rakyat kepada perintah, maka ianya adalah satu perkara yang baik dan sebenarnya ditunggu-tunggu pihak kerajaan kerana rakyat telah pun sedar tentang tanggungjawab mereka untuk mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.
Sepanjang PKP dilaksanakan sehingga ke hari ini, beliau berkata seramai 4,189 individu ditahan dengan 1,449 individu daripada mereka telah pun dituduh di mahkamah termasuk atas kesalahan mengganggu dan menghalang pihak berkuasa melaksanakan tugas.
Tegasnya, sebanyak 687 sekatan jalan raya telah dilaksanakan semalam melibatkan pemeriksaan terhadap 380,342 kenderaan selain pemeriksaan ke atas 3,791 premis perniagaan.
Sementara itu, ditanya andai kerajaan telah bersedia untuk melanjutkan PKP apabila tamat pada 14 April ini, Ismail Sabri berkata perkara itu akan diteliti Kementerian Kesihatan terlebih dahulu dengan mengambil kira situasi semasa pada jumlah kes positif COVID-19.
Tegasnya, faktor jumlah individu yang tidak mematuhi PKP itu juga turut diambil kira sebelum sebarang keputusan untuk melanjutkannya dibuat kerajaan.
“Alhamdulillah kalau kita lihat daripada laporan Kementerian Kesihatan trend dari segi jumlah positif tu tidak meningkat tetapi masih mendatar,” katanya.
Malaysia, yang pertama kali menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lepas melanjutkan perintah kawalan itu sehingga 14 April dengan prosedur operasi yang lebih ketat, dalam usahanya memerangi wabak COVID-19, selepas fasa pertama berakhir 31 Mac. Pelaksanaan PKP itu sebagai usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti, antara lain menyaksikan penguatkuasaan sekatan perjalanan keluar dari negeri masing-masing termasuk ke luar negara, serta tiada aktiviti di rumah ibadat, sekolah dan institut pengajian tinggi.-Bernama