KLANG: Kemaraan gandingan beregu campuran ke final selain kejayaan meraih pingat gangsa dalam acara beregu lelaki menjadi petunjuk jelas peningkatan prestasi skuad ping pong Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026.
Presiden Persatuan Ping Pong Sarawak, Jacky Sia berkata, pencapaian itu amat membanggakan memandangkan sebahagian besar pemain Sarawak masih berusia muda dan menunjukkan peningkatan ketara berbanding penampilan pada temasya sebelum ini.
Katanya, kejayaan Jason Wong Shung Wei, 16, dan Lee Hong An, 16, meraih gangsa dalam penampilan sulung mereka di Sukma membuktikan perkembangan positif sedang berlaku dalam kalangan pemain muda Sarawak.
“Ini Sukma pertama mereka dan terus dapat gangsa. Ini satu indikasi yang menunjukkan masa depan ping pong Sarawak cerah.
“Untuk Sukma akan datang, saya sangat gembira dan sangat yakin Sarawak akan mencapai keputusan yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak selepas perlawanan penentuan pingat gangsa di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Bandar Bukit Raja, di Klang, hari ini.
Dalam saingan penentuan pingat gangsa beregu lelaki, Jason dan Lee menewaskan pasangan Selangor 3-1 selepas tewas 1-3 kepada pasukan sama pada peringkat separuh akhir.
Sementara itu, gandingan beregu campuran Sarawak, Joanne Chen Yu Xi dan Cody Ting Shi Hao pula melangkah ke final selepas menewaskan wakil Pulau Pinang 3-1 pada aksi separuh akhir.
Gandingan itu bermula dengan kemenangan 12-10 sebelum tewas 7-11 pada set kedua, namun bangkit memenangi dua set berikutnya 11-8, 11-7 untuk mengesahkan tempat ke final yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.
Menurut Jacky, pencapaian tersebut menunjukkan skuad ping pong Sarawak kini sudah mampu memberikan saingan lebih sengit kepada negeri-negeri lain berbanding prestasi pada Sukma lalu.


“Kalau Sukma lepas, kita keluar main 3-0, 3-0, 3-0 dan kalah macam itu. Tak dapat main.
“Kali ini, kita sudah boleh bagi tekanan kepada negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata peningkatan itu tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya hasil program latihan berpusat yang dilaksanakan sejak Januari lalu, termasuk menjalani latihan di China serta di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV), Kuching.
Menurutnya, program berkenaan banyak membantu meningkatkan tahap permainan atlet, terutama selepas mereka mendapat pendedahan latihan yang lebih tersusun dan kompetitif.
“Bagi saya, selepas kita menjalani latihan berpusat di China dan di SSV, saya nampak perkembangan yang sangat besar,” katanya.
Dalam pada itu, Jacky berkata pihaknya sudah mula membuat persiapan awal untuk menghadapi Sukma akan datang dengan melatih dua atlet berusia 13 tahun sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang.
Katanya, Sarawak juga mempunyai beberapa pemain berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk Lee Hong An yang bakal menyertai skuad kebangsaan selepas temasya kali ini.
“Ini satu pencapaian yang sangat bagus. Kita memang ada atlet yang sangat berpotensi.
“Mana tahu Sukma akan datang boleh dapat dua emas, tiga emas. Siapa tahu?” katanya.
Jacky berkata kejayaan skuad kali ini turut didorong pengorbanan atlet dan ibu bapa, selain sokongan Majlis Sukan Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta pegawai pembangunan sukan yang membantu sepanjang program latihan berpusat.
Oleh Shahrul Qaizat





