SHAH ALAM: Skuad ping pong Sarawak menutup kempen Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 dengan kejayaan manis apabila gandingan Joanne Chen Yu Xi dan Cody Ting Shi Hao muncul juara acara beregu campuran di sini, hari ini.
Gandingan Sarawak itu tampil cemerlang apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Hun Hui Qi dan Lee Yong Yi, 3-0 pada aksi final untuk menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negeri.
Joanne-Cody tidak memberi ruang kepada lawan apabila menang 12-10, 11-4 dan 11-9 dalam pertarungan yang berlangsung sengit terutama pada set pertama.
Kemenangan itu sekali gus mengesahkan perkembangan positif skuad ping pong Sarawak pada temasya kali ini selepas turut meraih pingat gangsa menerusi acara beregu lelaki, sebelum Joanne-Cody meneruskan momentum dengan melangkah ke final dan akhirnya muncul juara.
Presiden Persatuan Ping Pong Sarawak, Jacky Sia, sebelum ini menyifatkan pencapaian skuad muda negeri itu sebagai petunjuk bahawa masa depan sukan berkenaan semakin cerah.


Katanya, kejayaan pada Sukma kali ini jauh lebih baik berbanding penampilan terdahulu apabila pemain Sarawak kini sudah mampu memberi tekanan kepada pasukan negeri lain.
“Kalau Sukma lepas, kita keluar main 3-0, 3-0, 3-0 dan kalah macam itu. Tak dapat main.
“Ini kali kita sudah boleh memberi tekanan kepada negeri-negeri lain,” katanya.
Kejayaan Joanne-Cody turut mengukuhkan keyakinan Jacky terhadap potensi skuad ping pong Sarawak untuk mencatat keputusan lebih cemerlang pada temasya akan datang, termasuk sasaran meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas.
Beliau berkata pembangunan bakat muda juga sudah dimulakan lebih awal apabila dua atlet berusia 13 tahun kini menjalani latihan sebagai persediaan jangka panjang menghadapi Sukma akan datang.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pemain muda Lee Hong An, 16, bakal menyertai skuad kebangsaan selepas temasya kali ini, sekali gus menjadi antara hasil positif pembangunan ping pong Sarawak.
Kejayaan Joanne-Cody hari ini melengkapkan satu lagi pencapaian membanggakan buat skuad ping pong Sarawak yang sebelum ini menyaksikan Jason Wong Shung Wei dan Lee Hong An meraih gangsa dalam acara beregu lelaki.
Oleh Shahrul Qaizat





