KUCHING: Setiausaha Politik Ketua Menteri, Michael Tiang membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pawagam MBO malam Sabtu.
Pemantauan tersebut dihadiri oleh Datuk Wong Tiong Hock setelah dijemput oleh pengurus MBO, Carol Clarissa Nain.
Tiang berkata beliau berpuas hati dengan pematuhan garis panduan oleh pihak MBO seperti yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Para pengunjung ke pawagam disaring sebelum mereka dibenarkan masuk untuk membeli tiket wayang dan akan disaring sekali lagi sebelum masuk ke pawagam.
Di dalam pawagam, setiap kerusi akan dijarakkan sekurang-kurangnya satu meter antara pengunjung.
Tiang berkata, ini merupakan satu norma baharu dan orang ramai mengambil masa untuk membiasakan diri mereka ini adalah perlu untuk mengelakkan penularan Covid 19.
Pawagam dibenarkan untuk beroperasi mulai 3 Julai tetapi penjualan makanan dan minuman masih tidak dibenarkan.
Dalam pada itu, Carol berkata keuntungan pawagam menunjukkan penurunan.
Beliau berkata sebelum terjadinya penularan Covid-19, jumlah pengunjung boleh mencecah dari 700 hingga 1,000 orang.
“Sekarang pawagam cuma dikunjungi kira-kira 40 orang pada Sabtu dan ini juga mungkin kerana tidak ada wayang yang baru,” kata Carol.
Oleh Connie Chieng