
KUCHING: Kuching Pickers, sebuah kedai hobi di bawah Pickers Zone Company (PZC) yang terletak di Pusat Beli-Belah CityOne Megamall, di sini, menjadi platform kepada penjual kecil dan peminat koleksi untuk memasarkan pelbagai barangan seperti komik, figura, model kit, mainan retro dan koleksi vintaj di bawah satu bumbung.
Pemiliknya, Musriffin, berkata konsep perniagaan itu diwujudkan bagi memenuhi permintaan peminat hobi, khususnya mereka yang mencari barangan koleksi terhad daripada pelbagai genre.
Menurut beliau, selain menawarkan pelbagai koleksi kepada pelanggan, Kuching Pickers turut menyediakan platform kepada penjual kecil untuk memasarkan koleksi mereka menerusi sistem konsainan.

Kalau anda peminat hobi dan koleksi, ini destinasi yang wajib dikunjungi.
“Melalui sistem konsainan, kami membantu menghimpunkan penjual kecil di satu platform. Pendekatan ini merupakan amalan biasa dalam industri hobi dan koleksi,” katanya.
Beliau berkata, kaedah tersebut memberi peluang kepada lebih ramai peniaga menjual produk tanpa perlu memiliki premis sendiri, sekali gus mengurangkan kos operasi.
Mus turut menjelaskan bahawa perniagaan berasaskan hobi seperti komik, poster filem, model kit dan figura mempunyai pasaran tersendiri meskipun berskala kecil kerana masih mendapat sokongan daripada komuniti pengumpul yang setia.
“Golongan ini sanggup berbelanja untuk mendapatkan koleksi yang diminati, terutama barangan edisi terhad atau sukar diperoleh,” katanya.

Tambah beliau, hobi seperti pemasangan model kit bukan sekadar aktiviti mengumpul, malah mampu mengasah kemahiran teknikal, ketelitian dan kefahaman terhadap penggunaan alatan serta komponen.
“Mereka yang terlibat dengan hobi seperti ini biasanya lebih teliti dan memahami penggunaan alatan dengan lebih baik, bukan sekadar mengumpul koleksi,” jelasnya.
Beliau berkata, kewujudan Kuching Pickers bertujuan menyediakan ruang alternatif kepada peminat komik, mainan retro dan koleksi vintaj untuk mendapatkan barangan kegemaran mereka, di samping mengukuhkan hubungan dalam komuniti hobi.

Selain mengendalikan kedai hobi, Pickers Zone Company (PZC) turut membangunkan komuniti budaya pop menerusi penganjuran ‘Kuching Collectors Mart’, yang diadakan setiap bulan, serta Konvensyen Komik Kuching, acara tahunan yang menghimpunkan peminat, pengumpul, pencipta kandungan dan penggiat industri kreatif.
Dengan visi menjadikan Sarawak sebagai destinasi budaya pop yang disegani di rantau ini, PZC terus memperkukuh ekosistem hobi dan koleksi melalui pelbagai inisiatif yang menghubungkan minat, kreativiti dan komuniti dalam satu platform.
Orang ramai yang berminat dengan koleksi retro, model kit, komik atau mainan vintaj boleh mengunjungi Kuching Pickers di media sosial Facebook dan juga di kedai fizikal mereka di aras 2, Pusat Beli-Belah CityOne, Kuching.




