
LUBOK ANTU: Usaha memperkasakan pembangunan pendidikan terus diperkukuh apabila Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dilihat memainkan peranan penting sebagai platform mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, berkata sinergi yang kukuh antara tiga komponen ini mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyokong kecemerlangan pelajar secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pendidikan bukan sahaja bergantung kepada sistem sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti setempat.


“Apabila semua pihak berganding bahu, kita bukan sahaja dapat meningkatkan pencapaian akademik, malah membentuk sahsiah dan jati diri pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Merarau anjuran PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Daerah Lubok Antu, dekat sini semalam.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja baik pulih sekolah, selain sumbangan RM30,000 kepada PIBG SMK Lubok Antu.
Menurutnya, peruntukan itu diharap dapat membantu meningkatkan kemudahan fizikal sekolah sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar dan warga pendidik.
Kehadiran warga sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat dalam majlis tersebut jelas membuktikan komitmen bersama dalam menyokong kecemerlangan pendidikan anak-anak di kawasan itu, sekali gus memperlihatkan peranan penting PIBG sebagai jambatan penghubung yang efektif.
Oleh Adi Safarman