
HORSENS: Tembok Besar China terbukti terlalu kebal untuk ditembusi. Impian Malaysia untuk menamatkan kemarau 34 tahun menjulang trofi Piala Thomas pada edisi 2026 terhenti selepas tewas 0-3 kepada juara bertahan pada perlawanan peringkat suku akhir di Forum Horsens di sini hari ini.
Selepas tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir Kumpulan A, pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi kembali dengan bergaya apabila menewaskan perseorangan lelaki utama Malaysia Leong Jun Hao 21-10, 16-21, 21-9 dalam pertarungan selama 67 minit, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada juara 11 kali itu.
Malaysia meletakkan harapan kepada pasangan beregu lelaki utama dan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengubah keadaan, dan pada satu ketika ia tampak berkemungkinan.

Juara dunia beregu lelaki 2022 itu memberikan tentangan sengit kepada pasangan nombor lima dunia Liang Wei Keng-Wang Chang pada set pembukaan yang mendebarkan, namun tewas 22-24.
Selepas itu, momentum bertukar dengan jelas, dan pasangan Malaysia tewas 14-21 dalam tempoh 35 minit, yang juga kekalahan ke-10 mereka dalam 13 pertemuan menentang pasangan China itu.
Ketika China, juara Kumpulan A menguasai permainan, perseorangan kedua negara Justin Hoh gagal mencetuskan kebangkitan apabila berdepan lawan sukar, iaitu pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng yang menamatkan perlawanan 21-14, 21-13 dalam tempoh 44 minit dan mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Keputusan itu juga bermakna Malaysia, yang muncul naib juara Kumpulan B gagal menamatkan penantian 24 tahun untuk mencatat kemenangan ke atas China dalam kejohanan ini.
Kemenangan terakhir Malaysia dicatatkan pada edisi 2002 di peringkat separuh akhir ketika China menjadi tuan rumah kejohanan badminton berpasukan berprestij itu di Guangzhou dengan keputusan 3-2.
China akan menentang pemenang satu lagi perlawanan suku akhir antara tuan rumah Denmark atau Thailand yang berlangsung lewat hari ini pada peringkat separuh akhir esok.
Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas England, diikuti kemenangan 4-1 menentang Finland sebelum tewas 2-3 kepada Jepun.
Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April berlangsung sehingga Ahad ini. – Bernama