Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Piala Dunia: Pasukan pilihan, apa yang baharu dan mengapa wujud kebimbangan?
  • SUKAN

Piala Dunia: Pasukan pilihan, apa yang baharu dan mengapa wujud kebimbangan?

Utusan Sarawak 3 hours ago
TROFI Piala Dunia FIFA yang menjadi rebutan 48 pasukan pada pusingan akhir di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada bermula 11 Jun ini.

LONDON: Piala Dunia akan bermula pada 11 Jun ini, dengan persiapan menjelang pusingan akhir kali ini tidak kurang hebatnya dengan pertikaian atau kontroversi berbanding kejohanan di Qatar empat tahun lepas, lapor PA Media/dpa.

Di sini, Press Association meninjau latar belakang kepada acara gilang-gemilang di Amerika Utara itu, serta perkara yang perlu diberi perhatian apabila kejohanan bermula.

Bagaimana kejohanan ini dianjurkan?

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menganugerahkan hak penganjuran pusingan akhir itu kepada Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico pada 2018, semasa penggal pertama Donald Trump sebagai Presiden AS.

Sejak beliau kembali memegang jawatan presiden pada Januari 2025, Presiden FIFA Gianni Infantino sering kelihatan di Rumah Putih, dengan sesetengah pihak berpendapat bahawa hubungan antara kedua-dua lelaki itu adalah terlalu rapat sehingga menimbulkan rasa kurang selesa, memandangkan kewajipan berkanun FIFA untuk berkecuali dalam hal politik dan pendekatan Trump yang mencetuskan polarisasi.

Keputusan FIFA untuk menganugerahkan Hadiah Keamanan kepada Trump hanya lebih dua bulan sebelum serangan udara AS ke atas Iran turut menerima kritikan dan sindiran.

Apakah kebimbangan utama menjelang kejohanan ini?

FIFA menerima banyak kritikan berkaitan jualan tiket — bukan sahaja mengenai harga, tetapi juga pelaksanaan harga dinamik, dakwaan mewujudkan kekurangan tiket secara buatan menerusi kaedah pelepasan tiket, serta pendekatan penjualan semula tiket yang menyaksikan FIFA mengambil komisen daripada jualan dan pembelian di platformnya. 

Beberapa venue tuan rumah, khususnya New Jersey dan Boston, turut menghadapi bantahan berhubung kos pengangkutan.

Pertubuhan hak asasi manusia dan kelab peminat juga bimbang tentang kesan dasar imigresen pentadbiran Trump terhadap peminat yang datang ke AS, serta mereka yang sudah sedia ada di sana.

Faktor cuaca panas juga dijangka menjadi kesukaran kepada pemain dan penonton, manakala penyertaan Iran dirasakan tidak menentu sejak tindakan ketenteraan AS di Asia Barat bermula pada Februari.

Apa yang baharu kali ini?

Pusingan akhir kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah, menampilkan 48 pasukan dan pengenalan pusingan 32 pasukan.

Ia juga merupakan kali pertama tiga negara menjadi penganjur bersama, dengan Mexico menjadi negara pertama yang menganjurkan pusingan akhir sebanyak tiga kali.

Kebimbangan mengenai kebajikan pemain telah mendorong FIFA untuk memperkenalkan rehat minum air selama tiga minit bagi setiap perlawanan, yang akan diambil menghampiri separuh masa bagi setiap babak.

Siapa pasukan pilihan dan pendatang baharu? 

Perancis, Sepanyol dan England dilihat sebagai pasukan yang paling berpotensi untuk bergelar juara, namun seperti biasa bagi kejohanan musim panas, kunci utamanya adalah pasukan mana yang tiba dengan bilangan pemain paling cergas.

Pasukan pendatang baharu ialah Tanjung Verde (Cape Verde), Curacao, Jordan dan Uzbekistan. Curacao bakal menjadi negara terkecil dalam sejarah yang pernah beraksi di Piala Dunia.

Adakah terdapat peraturan baharu?

Ya, terdapat banyak perubahan.

Bagi mempercepatkan permainan, pengadil boleh memulakan unduran masa lima saat jika mereka merasakan masa yang diambil terlalu lama untuk hantaran ke dalam atau sepakan gol.

Hantaran ke dalam akan diterbalikkan (diberikan kepada pasukan lawan) dan sepakan sudut akan diberikan jika terlalu banyak masa dibuang.

Had masa 10 saat akan dikenakan untuk pertukaran pemain. Jika pemain gantian tidak memasuki padang dalam tempoh itu, dia perlu menunggu seminit lagi sebelum menyertai perlawanan, sekali gus meninggalkan pasukannya kekurangan seorang pemain buat sementara waktu.

Apabila kecederaan pemain memaksa permainan dihentikan, pemain berkenaan mesti berada di luar padang sekurang-kurangnya selama satu minit.

Pembantu Pengadil Video (VAR) boleh menyemak sama ada sepakan sudut diberikan dengan betul, namun semakan mesti diselesaikan sebelum sepakan sudut itu diambil.

Sebaik sahaja permainan bersambung, keputusan tidak boleh diubah. Keputusan sepakan gol yang dibuat di atas padang adalah tidak tertakluk kepada semakan VAR.

VAR kini juga boleh campur tangan jika kekasaran jelas dilakukan oleh pasukan penyerang sebelum bola dimainkan dalam situasi sepakan bola mati, yang memberikan kesan langsung kepada jaringan gol, sepakan penalti atau sekatan disiplin.

Kad kuning kedua yang diberikan di atas padang boleh dibatalkan di Piala Dunia, tetapi hanya jika VAR mendapati tiada kekasaran berlaku.

FIFA juga telah menerima pakai pindaan undang-undang budi bicara yang membenarkan kejohanan menunjukkan kad merah kepada pemain yang menutup mulut mereka semasa konfrontasi dengan pihak lawan, susulan insiden yang melibatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior awal tahun ini.

Pemain yang meninggalkan padang permainan sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil – dan kakitangan pasukan yang menggalakkan mereka berbuat demikian – akan dilayangkan kad merah.

-Bernama

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: RM100,000 jadi rebutan Piala Lee Chong Wei 2026, tawar peluang ke Akademi Badminton Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.