KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak mencatat kejayaan dalam Ops Taring Libas apabila berjaya membongkar kegiatan pembalakan haram di Julau, semalam.
Serbuan yang dijalankan sekitar jam 7.30 pagi oleh Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu telah membawa kepada penahanan enam lelaki, termasuk seorang warga Indonesia berusia 45 tahun.
Lima lagi individu yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 34 hingga 59 tahun.
Hasil pemeriksaan di lokasi tersebut menemukan 154 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz, dua unit gergaji rantai, tiga jentolak, serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kesemua barangan rampasan dianggarkan bernilai RM3.3 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarikei untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Jabatan Hutan Sarawak 2015.
Sepanjang Ops Taring Libas yang bermula pada 1 Januari lalu, PGA Sarawak mencatatkan nilai rampasan mencecah RM48.8 juta.
Operasi ini telah merekodkan 12 kes, dengan 34 individu ditahan, terdiri daripada 29 warga tempatan dan lima warga asing.
Turut dirampas, 13 kenderaan pelbagai jenis.