BINTULU: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus komited memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi Program Memperkasakan Ilmu: STEM on Wheels bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, program itu bukan sahaja membawa pembelajaran STEM lebih dekat kepada pelajar, malah membuka lebih banyak peluang untuk mereka meneroka bidang berkenaan sejak di bangku sekolah.
Menurutnya, pendidikan STEM menjadi asas kepada pelbagai kerjaya penting termasuk kejuruteraan, teknologi, tenaga, perubatan dan penyelidikan yang menjadi pemacu pembangunan negara.

“Program seperti ini mampu membuka minda dan menanam minat anak-anak memilih aliran STEM, sekali gus menyediakan mereka untuk kerjaya masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program Memperkasakan Ilmu: STEM on Wheels di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat LNG, Abang Jimmy Abang Mordian berkata, program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk minat pelajar terhadap STEM sejak di peringkat sekolah.

Menurutnya, program yang bermula pada Mei lalu melibatkan penyertaan 38 guru dan 240 pelajar daripada tiga sekolah menengah menerusi pelbagai bengkel latihan guru serta aktiviti pembelajaran STEM secara praktikal.
“Selain itu, sokongan ibu bapa juga memainkan peranan sama penting dengan sekolah dalam memberi motivasi kepada anak-anak untuk terus meminati bidang STEM,” ujar beliau.
Katanya, Petronas percaya pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan dan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta komuniti mampu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera dan inovator yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee; ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming; Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti; Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri, Solomon Kudik.
Oleh Carolyne Utih





