KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd telah membeli limbungan pemfrabikatan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di Teluk Ramunia, Johor pada harga RM320 juta.
Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu berkata, limbungan seluas 68.78 hektar itu mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kerja pemfrabikatan keluli platform luar pesisir dan struktur lain sehingga 50,000 tan.
“Disebabkan kedudukannya yang berhampiran dengan Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas (RAPID) di Pengerang, cadangan pengambilalihan ini merupakan satu peluang bagi Kumpulan Serba Dinamik untuk menceburi segmen perkhidmatan marin dan luar pesisir di lokasi strategik,” kata pemain huluan luar pesisir itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir Mohd Karim Abdullah berkata, syarikat itu mempunyai banyak peluang dalam mengembangkan keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
“Peluang ini bukan sahaja wujud di Malaysia tetapi di seluruh rantau dan Timur Tengah. Dengan perjanjian ini serta penambahan dalaman yang lain, kami percaya bahawa kami akan dapat memperkembangkan lagi keupayaan kumpulan.
“Kemudahan ini akan membantu dalam menunaikan pelbagai usaha dalam kontrak, dan dengan itu akanĀ mengukuhkan lagi aktiviti kumpulan di persisiran pantai serta luar pesisir termasuk meningkatkan lagi rantaian nilai kami dalam pekerjaan penyelenggaraan dan EPCC,” katanya- Bernama