KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akhirnya menyertai syarikat minyak lain dengan mengiktiraf hak Sarawak dalam melaksanakan cukai Jualan Negeri (SST) lima peratus ke atas minyak dan gas, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
“Terima kasih Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana membetulkan apa yang salah (lapan hari selepas kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) menakluk Kerajaan Persekutuan, Petronas membawa kes saman SST ke mahkamah).
“Terima kasih kepada Petronas dan juga syarikat lain seperti Shell, Murphy Oil, Pertamina dan Sapura OMV kerana membayar SST lima peratus SST untuk 2019 berjumlah RM138 juta tahun lalu.
“Paling penting, terima kasih Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana mencadangkan pelaksanaan cukai lima peratus ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada tahun 2018,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejayaan bersejarah Sarawak yang menerima cek pembayaran SST berjumlah RM2,956,671,407.36 daripada Petronas kepada Kerajaan Sarawak kelmarin untuk SST tahun 2019 syarikat gergasi minyak negara itu
Tambahnya, pelaksanaan SST telah berjaya membawa pendapatan tambahan sebanyak RM3 bilion kepada Kerajaan Negeri untuk 2019.
“Walaupun jumlah tersebut banyak, tetapi tidak mengejutkan apabila banyak ahli politik pembangkang tetap membuat pelbagai kenyataan dan tuduhan yang mengelirukan mengenai jumlah tersebut.
“Ini kerana, sudah tentu harga petrol kita di Sarawak tetap sama, tidak seperti sebilangan ahli politik (termasuk beberapa dari Sarawak) cuba menyebarkan khabar angin pada 2018 bahawa SST ini akan menyebabkan kenaikan harga petrol, ini adalah penipuan,” tegasnya yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)
Tambahnya, pada 2018 pendapatan Sarawak hanya sebanyak RM6 bilion kerana tahun agak mencabar di bawah kerajaan PH yang cuba memufliskan Sarawak dengan menahan dana untuk Sarawak yang menyebabkan Kerajaan Negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula mencari wang dan cara sendiri.
“Menjelang 2023, dalam tempoh lima tahun lagi, pendapatan keseluruhan Sarawak akan menjadi sekitar RM12 hingga 15 bilion dan ia permulaan bagi Sarawak menjadi negeri kuat dan makmur.
“Tidak ada yang akan dapat menghentikan kita dari menjadikan Sarawak yang kuat dan makmur, jika kita tetap bersatu dan tidak membiarkan usaha orang luar untuk memisahkan kita,” tegasnya.
Oleh Zarina Abdullah