BINTULU: Anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Bintulu menyantuni 56 murid yang terjejas akibat kebakaran di asrama Sekolah Kebangsaan Sebauh, di sini baru-baru ini.
Anak syarikat PETRONAS, PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, Kumpulan Syarikat LNG Malaysia dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Sarawak Gas secara kolektif menyumbangkan katil, selimut, bantal, kain cadar, peralatan mandian, pelitup muka, mesin basuh dan beg sekolah kepada pelajar terbabit.
Barangan tersebut diserahkan kepada mereka pada satu majlis yang dihadiri Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat LNG Malaysia, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi dan Pengurus PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Sarawak Gas, Mijun Nasin.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban murid dan guru SK Sebauh serta memberi motivasi kepada mereka dalam pelajaran,” kata Mohamed Syazwan.
Selain memberikan bantuan bencana, PETRONAS juga menyediakan pelitup muka untuk sekolah menengah di sekitar Bintulu bulan lalu untuk mengurangi penyebaran Covid-19 ketika sekolah dibuka semula di seluruh negara.