KUALA LUMPUR: Petronas menganugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Aset Hayat Lewat (LLA) kepada Ping Petroleum Sdn Bhd sebagai langkah memaksimumkan pemulihan Kluster Abu di luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Kluster Abu terdiri daripada tiga medan yang dibangunkan, iaitu Abu, Abu Kecil dan Abu SW Upthrown, dengan baki rizab sebanyak lima juta tong.
“Petronas mengharapkan Ping Petroleum memaksimumkan pemulihan daripada Medan Abu, yang mencatatkan pengeluaran puncak sebanyak 15,000 tong sehari pada 2008.
“Selain itu, dengan pelaksanaan terma komersial yang dipertingkatkan untuk prosedur operasi yang diperkemas bagi LLA, kami memperkasakan pengendali menggunakan keupayaan mereka mengewangkan medan Abu Kecil dan Abu SW Upthrown,” kata Naib Presiden Kanan Petronas Malaysia Petroleum Management (MPM) Mohamed Firouz Asnan dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, potensi yang terpendam di Medan Abu, ditambah dengan dua medan lain yang dijangka memberikan pulangan saksama kepada Petronas dan pelabur, terutamanya dalam membiayai keperluan di kemudahan sedia ada yang ditinggalkan.
Sebagai penjaga sumber hidrokarbon kebangsaan, Petronas melalui MPM, menguruskan pengaturan petroleum di Malaysia dan melaksanakan pengawasan terhadap aktiviti-aktiviti petroleum huluan.
Ia bertujuan untuk membuka potensi penuh sumber hidrokarbon Malaysia, memaksimumkan nilai rakan kongsinya dan syarikat, berpandukan strategi ‘Aset Tepat, Pemain Tepat’ dan disokong oleh rangka kerja fiskal yang progresif. – Bernama