KUCHING: Sarawak mahu memperluas kehadiran ekonominya ke pasaran antarabangsa dengan meneroka peluang baharu, termasuk melalui cadangan pembukaan pejabat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cadangan berkenaan sedang dipertimbangkan susulan kerjasama Sarawak dengan pihak Abu Dhabi dalam bidang tenaga solar.
“Kita cadang, kerana kita ada kerjasama dengan pihak Abu Dhabi dalam tenaga solar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak 2026 (SCOPE) di Riverside Majestic Hotel, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai cadangan pembukaan pejabat Sarawak di Abu Dhabi dan bila ia dijangka direalisasikan.
Langkah itu dilihat selari dengan usaha Sarawak memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan ke luar rantau Asia Tenggara, selain mengenal pasti peluang baharu dalam sektor tenaga dan teknologi.
Dalam ucaptama pada SCOPE, Abang Johari turut menggesa syarikat Sarawak supaya tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik, sebaliknya melihat peluang lebih luas di peringkat serantau.
“Jika anda sebuah syarikat Sarawak, jangan hanya bertanya berapa banyak yang boleh saya jual di Sarawak. Sebaliknya, tanya apa yang boleh saya jual kepada rantau ini,” katanya.
Menurutnya, kedudukan Sarawak di Borneo, berhampiran Indonesia dan Brunei serta dalam lingkungan ASEAN menyediakan peluang dalam sektor tenaga, perdagangan, pelancongan, logistik, teknologi, pengeluaran makanan, perkhidmatan profesional dan ekonomi digital.
Katanya, dalam ekonomi digital, pasaran syarikat tidak lagi terhad oleh sempadan geografi seperti dahulu, sekali gus membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan ke pasaran lebih luas.
Dalam ucaptama sama, Abang Johari berkata Sarawak juga perlu bergerak daripada sekadar mengeksport sumber mentah kepada pembangunan industri hiliran supaya lebih banyak nilai ekonomi dapat diwujudkan dalam negeri.
Beliau berkata sumber seperti minyak dan gas, kayu-kayan, tanah, air dan tenaga hidro perlu dimanfaatkan untuk membina industri di sekelilingnya, sekali gus mewujudkan pekerjaan berkemahiran, memperkukuh perniagaan dan membangunkan kepakaran tempatan.
Menurutnya, gas asli misalnya boleh menyokong pengembangan industri petrokimia, metanol dan industri berasaskan gas lain, manakala bidang pertanian, perhutanan, biodiversiti, karbon, data dan teknologi turut mempunyai potensi untuk membangunkan industri baharu.
Abang Johari berkata kelebihan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga hidro, air, gas asli, biomassa dan potensi solar, perlu dimanfaatkan untuk menarik industri baharu dan menghasilkan nilai ekonomi lebih tinggi.
Katanya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran termaju, semikonduktor, teknologi satelit dan analisis data juga membuka peluang baharu yang perlu diterokai Sarawak.
Beliau berkata pembangunan industri dan peluasan pasaran perlu disokong oleh pembangunan bakat supaya rakyat Sarawak mempunyai kemahiran untuk mengendalikan, membangunkan dan mengembangkan teknologi serta industri baharu.
Abang Johari berkata usaha memperluas pasaran dan membangunkan industri bernilai tinggi merupakan sebahagian daripada transformasi ekonomi Sarawak yang perlu diteruskan melangkaui sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Katanya, keputusan dan pelaburan yang dibuat hari ini perlu mengambil kira keperluan Sarawak pada 2040 dan 2050 supaya negeri itu mempunyai ekonomi yang lebih pelbagai, produktif dan berdaya tahan.
Oleh Afiq Sallehi





